Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam tong berisi air di kediamannya, Sabtu lalu.

Mangsa, Raja Maryan Dalisha Raja Ismail, ditemukan mati akibat tersembam di dalam tong berkenaan di bilik air rumahnya kira-kira jam 11.30 pagi hari tersebut.

Ibu mangsa, Ruzwaniza Yaakob, 39 tahun memaklumkan anaknya itu dijumpai oleh seorang lagi anaknya yang berusia 12 tahun.

Ketika kejadian, dia tidak menyedari keadaan anaknya itu kerana sedang menyusukan seorang lagi anaknya yang masih kecil.

“Saya terus bergegas ke bilik air dan telah melihat Raja Maryan berada di dalam tong penuh berisi air dengan kedudukan kepala di bawah.

“Saya telah mengeluarkan Raja Maryan dan dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Jenazah Raja Maryan agaimanapun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kesedar Sungai Asap, Gua Musang, Kelantan sekitar jam 10 pagi Ahad.

Ruzwaniza yang tinggal di Taman Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang serta ahli keluarganya yang masih hiba dan terkejut dengan insiden tersebut turut reda dengan ketentuan Illahi dan bersyukur apabila jenazah Raja Maryan selamat disemadikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.