Kanak-kanak 4 tahun rentung dalam kebakaran, ditemui di bilik air

Ruzaini Zulkepli
November 3, 2019 04:27 MYT
Kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Melisau, Tenghilan yang mengorbankan nyawa kanak-kanak empat tahun pagi tadi. - Foto JBPM
Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di Kampung Melisau, Tenghilan, pagi tadi.
Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Joshua Patrick yang berusia empat tahun ditemukan di bilik mandi selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran berkenaan.
Abang mangsa, Shafiq Patrick, 6, pula melecur di bahagian kaki serta tangan manakala nenek mangsa,
Miti Diki, 64, turut cedera di bahagian lengan.
Kedua-dua mangsa bagaimanapun berada dalam keadan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tuaran.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.
"Rumah tersebut didiami seramai enam individu di mana ketika kebakaran salah seorang mangsa gagal untuk menyelamatkan diri.
"Mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu ditemui di bilik mandi berhampiran ruang tamu rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau menambah, siasatan awal kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
"Operasi terkawal pada jam 5.55 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.48 pagi tadi.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.
#Hospital #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Kampung Melisau #kanak-kanak rentung #Kota Kinabalu #Tuaran