Seorang kanak-kanak perempuan warga asing berusia enam tahun ditemui mati dengan kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan termasuk lengan, dipercayai dipukul bapa tirinya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata mayat mangsa yang berpakaian lengkap ditemui terbaring di atas bahu jalan di hadapan sebuah kedai makan Jalan Memanda 3, Ampang Point pada 9.50 pagi oleh orang awam.

"Siasatan awal mendapati mangsa berumur lingkungan enam tahun adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Mangsa yang botak dipercayai telah dipukul dengan objek keras atau tumpul sehingga menyebabkan kematiannya," menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kanak-kanak malang itu dipercayai telah dipukul bapa tirinya kerana enggan makan.

Berikutan itu, operasi mengesan bapa tiri mangsa dilakukan dan tidak sampai setengah jam kemudian, polis menahan seorang lelaki dan dua wanita pemegang kad UNCHR di sebuah hotel di Jalan Memanda 5, Ampang Point, dipercayai lokasi pembunuhan mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA