Kanak-kanak hanyut dibawa arus deras di Segambut Dalam

Bernama
Mei 3, 2016 01:16 MYT
Saufullah Hamin dikatakan terjatuh ke dalam longkang itu ketika hujan lebat, kira-kira pukul 4 petang Isnin. -Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak berumur 11 tahun dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan air deras selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Segambut Dalam, di sini.
Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata mangsa, Saufullah Hamin Al Hilal Hamim, dikatakan terjatuh ke dalam longkang itu ketika hujan lebat, kira-kira pukul 4 petang Isnin.
"Setakat ini operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sehingga menyusuri sepanjang satu kilometer dengan menyusur longkang besar di Taman Sri Sinar dan berhampiran Tan Chong Motor di Segambut Dalam," katanya kepada Bernama.
Operasi mencari yang disertai anggota bomba dari Jinjang, Bukit Bintang dan Sentul itu akan disambung Selasa sekiranya mangsa gagal ditemui sehingga tengah malam tadi.
#dikhuatiri lemas #kanak-kanak 11 tahun #Masjid Al-Ubudiah #Samsol Maarif Saibani #Segambut Dalam