Kanak-kanak lelaki maut langgar lari

Nazialita Geynna Maharan
Mac 20, 2018 09:18 MYT
Menurut saksi, kanak-kanak tersebut sedang menunggang basikal ke arah Teluk Intan sebelum dilanggar kenderaan tidak dikenali. - Astro AWANI/Nazialita Geynna Maharan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 16, berhampiran Jalan Teluk Intan - Kampung Gajah pada petang Isnin.
Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengahari itu, insiden yang berlaku di Kampung Permatang Pelanduk, Teluk Intan itu telah menyebabkan mangsa yang menaiki basikal maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi berkata, pihak polis menerima laporan awal berkenaan kemalangan melibatkan sebuah basikal dan kenderaan tidak dikenalpasti dalam jam 12.15 tengahari.
“Siasatan awal pihak polis berdasarkan percakapan saksi mendapati mangsa, berusia enam tahun sedang menunggang basikal menghala ke arah Teluk Intan dan begitu juga kenderaan yang dipercayai melanggarnya.
“Menurut seorang saksi yang berada di lokasi kejadian, kenderaan yang melanggar kanak-kanak tersebut sebuah Proton Waja hijau namun nombor pendaftarannya tidak berjaya dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan maut di tempat kejadian. - Astro AWANI/Nazialita Geynna Maharan
Menurut beliau, siasatan lanjut ke atas basikal yang ditunggang mangsa bengkok mendapati kerosakan pada rim hadapan telah tercabut manakala rim belakang turut bengkok.
Tambah, Mohd Marzukhi mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi tujuan bedah siasat dan buat masa ini polis sedang giat melakukan usaha mengesan pemandu kereta tersebut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya lagi.
#basikal #Kanak-kanak #langgar lari #maut #Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar #Proton Waja