JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai selepas didera lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang Jumaat.

"Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kejadian ini.

"Mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah. Kemudian mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan pihak polis merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa di sebuah rumah di Senggarang.

Katanya, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sejak Jumaat disahkan sudah meninggal dunia pada jam 6.40 petang Isnin.

"Pada awalnya kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.

"Namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujar beliau. -Sinar Harian