LAHAD DATU:Seorang kanak-kanak lelaki maut dibaham buaya ketika sedang mandi bersama rakannya di sungai Kampung Sabah Baru, di sini kira-kira 1.30 petang tadi.

Dalam kejadian tersebut, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu sedang mandi di sungai bersama rakannya sebelum tiba-tiba dibaham buaya.'

Rakan mangsa yang melihat kejadian itu segera pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada bapa mangsa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, pihak polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu segera menghubungi Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Kira-kira pukul 3.30 petang, mangsa dijumpai terapung tidak jauh dari tempat kejadian.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati, jarak tempat kejadian dengan rumah mangsa terletak kira-kira 20 meter sahaja," katanya.

Jelas Rohan Shah, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan iaitu di pinggang, perut serta dada, dan ketika ditemui, mangsa telah pun meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah ditemui," jelasnya.

Pada masa sama, Rohan Shah turut menasihati agar masyarakat yang tinggal di pesisir sungai dan pantai agar sentiasa berhati-hati untuk mengelak serangan reptilia tersebut.