Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut, dipercayai akibat didera oleh bapa kandung serta ibu tirinya, dalam kejadian di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Zainudin Ahmad berkata, kanak-kanak malang itu ditemui tidak sedarkan diri sekitar 11.30 malam tadi oleh bapanya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Setibanya di hospital sekitar 12.30 malam, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan bapa mangsa tampil membuat laporan polis, katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Zainudin, pada awalnya kes klasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, selepas bedah siasat dijalankan, kematian kanak-kanak itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

"Hasil bedah siasat mendapati, terdapat kesan lebam pada badan kanak-kanak tersebut serta kecederaan pada organ dalaman.

"Antara kecederaan termasuk kerosakan pada buah pinggang, kedua-dua rusuk kiri dan kanannya patah, kecederaan pada usus besar, serta kesan koyakan dalaman pada bahagian paha, dipercayai dipukul dengan objek tumpul," tambahnya.

Susulan itu, katanya, pihaknya telah menahan bapa kanak-kanak itu, yang merupakan seorang anggota tentera, dan ibu tiri mangsa yang tidak bekerja, masing-masing berusia lingkungan 30-an.

Mayat kanak-kanak malang itu akan dibawa ke Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

Kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Zainudin berkata, pada Jun tahun lalu, ibu kandung mangsa yang juga seorang anggota tentera pernah membuat laporan polis selepas mendapati mangsa yang berada di bawah jagaan bekas suaminya, mempunyai kesan lebam pada beberapa bahagian badan.

Kes kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Seremban tetapi ia diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) pada 24 Julai atas alasan suspek (bapa kandung) memukul atas dasar ingin mengajar mangsa.