POKOK SENA: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera selepas tangan kirinya tertusuk pada besi pagar sebuah masjid ketika cuba memanjat pagar tersebut.

Kejadian berlaku di Masjid Jamek Al Hidayah, Kampung Pinang, Pokok Sena, sekitar jam 6 petang Isnin, apabila kanak-kanak lelaki itu dikatakan telah melepasi separuh badannya melepasi pagar.

Difahamkan kanak-kanak berkenaan yang bersendirian ketika itu, cuba berpaut pada jeriji tajam di bahagian atas pagar sebelum tangan kirinya tertusuk besi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 5.46 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Ketika anggota tiba kelihatan mangsa sedang menahan kesakitan sambil dipeluk ibunya.

"Anggota terpaksa menenangkan mangsa terlebih dahulu sebelum kerja memotong besi dilakukan dengan menggunakan grinder (alat memotong besi),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohamadul Ehsan berkata, selepas berjaya mengeluarkan besi daripada tangan mangsa anggota menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.