Kanak-kanak OKU dikhuatiri lemas tergelincir dalam sungai

Adie Sufian Zulkefli
November 30, 2020 11:58 MYT
Bomba menemui tuala dan selipar disyaki milik mangsa di tebing sungai.
KULIM: Seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Merbok, Kampung Bikan Atas, dekat Kulim, hari ini.
Mangsa dikatakan tergelincir ke dalam sungai itu kira-kira jam 6.15 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi sebaik menerima laporan.
Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech kemudian menemui tuala dan selipar disyaki milik mangsa di tebing sungai.
"Sejurus penemuan barangan milik mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan.
"Setakat jam 7.45 malam tadi usaha pencarian masih dilakukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
#Kanak-kanak #budak #OKU #perempuan #lemas #tergelincir #terjatuh #sungai merbuk #sungai merbok