Kanak-kanak OKU maut selepas terjatuh dari tingkat 12 rumahnya

Bernama
September 1, 2018 23:03 MYT
Menurut warisnya, Lim Yi Xuan telah memanjat meja yang berada di tepi tingkap yang terbuka sebelum terjatuh. - Foto ihsan PDRM
Seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) maut selepas terjatuh dari tingkat 12 rumahnya di Flat Puncak Terubong, Jalan Bukit Kukus, di Paya Terubong, di sini pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut V. Saravanan berkata mangsa Lim Yi Xuan, 8 tahun, yang juga mempunyai masalah pembelajaran dan hiperaktif, ditemui terbaring di belakang blok rumah berkenaan.
"Menurut warisnya, kanak-kanak itu telah memanjat meja yang berada di tepi tingkap yang terbuka sebelum mangsa terjatuh dan pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
#Hospital #jatuh bangunan #Kanak-kanak #meninggal dunia #OKU