IPOH: Polis selesai menjalankan siasatan berhubung kes tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan dari dalam kereta yang sedang bergerak di Tambun, bulan lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan telah selesai dijalankan dan kita telahpun merujuk kertas siasatan kepada pihak Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya ataupun Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk arahan lanjut.

"Jadi, bapa ataupun ibu bapa, kena lebih bertanggungjawab ke atas keselamatan anak, kerana dia benarkan anak-anak dia keluar tingkap dengan kereta yang laju dalam keadaan, ketiga-tiga orang anak, anak perempuan, saya rasa, keluar kepala melalui tingkap dan sebagainya," katanya.

Beliau ditemui sempena hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di sini hari ini.

Menurutnya, bapa kepada tiga kanak-kanak berkenaan yang ditahan pada 25 Mac lalu, dibebaskan selepas ditahan reman dua hari untuk membantu siasatan.

Semakan pihak polis mendapati lelaki berusia 37 tahun itu mempunyai 32 rekod kesalahan trafik.

Dalam masa sama, polis turut memanggil ketiga-tiga kanak-kanak berusia 4 hingga 8 tahun berkenaan untuk membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menyiasat isu tular menerusi video berdurasi 62 saat yang menunjukkan aksi berbahaya tiga kanak-kanak dalam sebuah kereta, dipercayai dirakam di Jalan Tambun.