KUALA LUMPUR:Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan maut selepas dipercayai didera di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini, pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 2.45 petang semalam.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil serta lengkap berpakaian. Hasil pemeriksaan fizikal mendapati, terdapat kesan calar serta lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki mangsa.

"Sehubungan itu, polis menahan tiga suspek yang merupakan pengasuh dan anak-anaknya berusia lingkungan 22 hingga 61 tahun, dipercayai terlibat dalam kes itu, bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Beh berkata, mayat mangsa telah pun dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul," ujarnya.

Kanak-kanak perempuan 5 tahun maut dipercayai didera