Sebanyak 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Lahad Datu dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada Khamis.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, kesemua individu warga Filipina itu terdiri daripada 10 lelaki, termasuk seorang kanak-kanak, dan lima perempuan.

Mereka ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari semasa pemeriksaan dijalankan di kawasan Kampung Tong Batu Lok Damai, Pulau Sakar.

"Kesemua mereka, berumur antara tiga dan 50 tahun, gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sewaktu disoal siasat pegawai imigresen, kesemua mereka mengakui secara lisan berasal dari Filipina.

Kesemua suspek dibawa ke Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, katanya.

Menurut Mohamad Pajeri, operasi inter-agensi tersebut dianggotai tiga pegawai dan 16 anggota PPM Lahad Datu serta dua pegawai dan dua anggota Jabatan Imigresen Lahad Datu.

"Operasi ini dijalankan bagi membanteras isu pendatang asing yang semakin berleluasa di daerah ini.

"Operasi akan giat dijalankan sepanjang musim perayaan Krismas dan Tahun Baru bagi mengekang kemasukan PATI di daerah ini, seterusnya negeri ini," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah serta kesalahan-kesalahan lain dan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan Sabah, khususnya Lahad Datu, diminta tampil membuat laporan ke balai polis berdekatan.