Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas Perodua MyVi yang dipandu bapanya terbabas dan merempuh tiang elektrik di KM26 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, di sini.

Nik Muqri Danish Nik Faiza, 3, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala bapanya, Nik Faiza Nik Mat, 32, bersama lima penumpang lain hanya cedera ringan.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian 4 petang semalam, kanak-kanak itu dan keluarga dalam perjalanan dari Sungai Lembing menuju ke Kuantan.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat, katanya di sini hari ini.