LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Kampung Bakau Lama, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 10 tahun dikatakan diheret seekor buaya masuk ke dalam sungai berkenaan sebelum hilang tanpa kesan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.03 tengah hari.

"Susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Lokasi pencarian mangsa yang didakwa dibaham buaya di Sungai Kampung Bakau Lama, Lahad Datu.
"Saksi di tempat kejadian mendakwa terdapat seorang kanak-kanak yang dibaham buaya sebelum diheret ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurutnya, sehingga kini, mangsa masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan di kawasan berkenaan.

"Operasi SAR dilakukan menggunakan kaedah 'surface searching' dengan bantuan orang kampung.

"Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.


Artikel asal di Sinar Harian