IPOH: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kinta di Taman Desa Pelancongan, Pasir Puteh, dekat sini, hari ini.

Mohd Hakimi Nor Izzudin, dikatakan bermain di kawasan tebing sungai itu bersama dua rakannya, sebelum terjatuh.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.23 pagi.

"Rakan-rakan mangsa kemudiannya meminta bantuan orang awam untuk menyelamatkannya.

"Mangsa dinaikkan ke tebing dengan bantuan daripada orang awam kira-kira jam 10.30 pagi, sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya di sini, hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba yang tiba membuat tindakan awal dengan memberi bantuan CPR kepada mangsa.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.