KEMAMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian belakang badan selepas dipercayai terkena percikan bahan mudah terhakis.

Insiden itu berlaku di sebuah tabika di Kemaman pada Rabu.

Kejadian itu hanya disedari gurunya selepas mangsa yang sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kelasnya tiba-tiba meluru ke arahnya sambil menangis dan mengadu terasa panas di bahagian belakang badannya.

Sementara itu ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Masyita, berkata selepas menerima panggilan dia bergegas mendapatkan anak sulung daripada dua beradik itu.

Katanya ketika sampai dia melihat anaknya itu tidak berbaju serta menangis kesakitan sebelum mengesan terdapat kecederaan pada belakang badan mangsa.

Selain itu Masyita berkata baju melayu yang dipakai anaknya  juga turut berlubang dan ada kesan terhakis lalu membawa anaknya ke klinik berhampiran.

Jelas Masyita anaknya itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (HSNZKT) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenalpasti bahan yang terkena pada badan kanak-kanak tersebut.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat  kesan terhakis pada baju mangsa dan pihaknya  akan membawa sampel bahan tersebut ke Jabatan Kimia.

Selain itu pihaknya akan menyiasat dari segala aspek termasuk meneliti sama ada berlaku pengabaian penjagaan terhadap kanak-kanak itu di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.