KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 2.41 petang itu, mangsa dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh bapanya  yang keluar membeli barang, dalam keadaan pintu berkunci.

“Apabila bapa mangsa pulang ke rumah, dia mendapati anaknya telah tiada.

“Mangsa telah ditemui oleh salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat 8 dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, siasatan lanjut turut mendapati tingkap di bilik mangsa berada dalam keadaan terbuka selain terdapat kerusi berdekatan tingkap.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.