PUTRAJAYA: Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilancarkan di Pelabuhan Klang, hari ini, kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Beliau, dalam kenyataan hari ini, berkata ri ini, berkata OPV1 dilancarkan ke air di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) di Pelabuhan Klang jam 5.57 pagi tadi dengan menggunakan sistem pelancaran 'Air Balloon'.

THHE akan menghidupkan dan mentauliah sistem kapal, membuat ujian di laut serta menyediakan latihan kepada kru kapal selama tiga bulan sebelum majlis penyerahan kapal OPV 1 kepada Maritim Malaysia dibuat pada awal tahun depan.

Kapal OPV 1 berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar itu berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil.

Kapal yang direka bentuk mengikut kapal Damen 1800 itu, berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Mohd Zubil berkata selepas diserahkan kepada Maritim Malaysia, kapal OPV 1 dijangka beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali di Sarawak.

-- BERNAMA