GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki dan bot tunda bersama kru yang mengendalikannya kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran di kedudukan 0.16 batu nautika timur perairan Persiaran Karpal Singh, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata bot APPM Pulau Pinang yang menjalankan rondaan telah mengesan sebuah kapal tangki MT Mekar Jaya dan sebuah bot tunda YKP Karishma merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan pada 2.10 petang.

"Hasil pemeriksaan, kapal tangki MT Mekar Jaya yang berbendera Malaysia dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga tempatan, kesemua lelaki itu berusia 26 hingga 46 tahun dan mempunyai dokumen perjalanan diri.

Pemeriksaan pada bot tunda YKP Karishma yang berbendera Thailand pula mendapati ia dikendalikan enam kru termasuk nakhoda iaitu empat warga Indonesia dan dua warga Thailand yang kesemuanya lelaki berumur 35 hingga 51 tahun mempunyai dokumen perjalanan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya kapal tangki dan bot tunda itu disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak STS dan pihaknya menahan nakhoda, ketua jurutera kapal serta bot tunda termasuk dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA