KUALA LUMPUR: Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan mengesahkan beliau menghidap kanser testis dan sedang menjalani fasa pemulihan.

Beliau turut memaklumkan, bakal diketepikan untuk tempoh yang panjang pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Hidup saya sentiasa positif walaupun ada ketika agak kecewa dengan kritikan negatif tetapi saya sering menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk menguatkan karakter diri sendiri.

“Kini, saya berdepan ujian sekali lagi apabila disahkan mengalami kanser testis dan saya sudahpun melakukan pembedahan. Sekarang adalah fasa untuk saya menjalani proses pemulihan," katanya dalam hantaran di akaun Instagramnya.

Kapten skuad Selangor FC yang berusia 33 tahun itu memberitahu, berita berkenaan tidak akan mematahkan semangatnya malah beliau akan terus berusaha untuk kembali berada di padang bola sepak secepat mungkin.

Menurut Brendan, selepas disahkan menghadapi kanser testis, pembedahan telah dilakukan dan kini langkah seterusnya adalah untuk menjalani proses pemulihan.

“Apa yang pasti, saya sangat bertuah apabila didampingi individu yang sentiasa memberi sokongan terutama keluarga, rakan-rakan terdekat dan komuniti bola sepak tempatan.

“Kanser tidak akan mematahkan semangat saya sebaliknya akan lebih bermotivasi dalam usaha kembali ke padang bola sepak memimpin pasukan Selangor secepat mungkin,” katanya lagi.

Sementara itu, Selangor FC mengesahkan perkara tersebut dan meminta semua pihak agar mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada pemain kelahiran Australia itu sepanjang tempoh pemulihannya.