BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam proses menyiapkan tender untuk melantik syarikat membekalkan ikan untuk stok sejuk beku.

Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal berkata langkah itu dapat membendung aktiviti monopoli kartel yang semakin berleluasa.

"Kerajaan melalui syarikat berkenaan yang dilantik LKIM akan bertindak membeli, menyimpan, memproses dan memasarkan ikan dalam skala besar bagi mengelak kartel memonopoli ketika musim pendaratan ikan yang banyak," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan enjin sangkut di Kampung Tebuk, Matang, dekat sini hari ini.

Seramai 46 orang nelayan di Jeti Kampung Tebuk dan Jeti Kampung Matang Gelugor menerima enjin sangkut membabitkan kos RM494,000 bertujuan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Syed Abu Hussin berkata pada ketika ini bekalan ikan mengalami kenaikan harga kerana dimonopoli kartel yang membeli dengan banyak pada ketika musim ikan banyak.

Beliau berkata pihaknya yakin dengan cara melantik syarikat itu akan menstabilkan, selain membantu mengurangkan harga ikan di pasaran.

"Isu kartel bukan perkara baharu kerana kartel sudah bergerak untuk membeli ikan di kawasan pendaratan pada musim ikan banyak dengan cara itu akan membolehkan mereka memainkan harga di pasaran," katanya.

-- BERNAMA