KASHMIR: Pihak berkuasa di Kashmir yang dikuasai India menghantar sekurang-kurangnya 168 pelarian Rohingya ke pusat tahanan.

Langkah itu dikatakan dalam proses mengusir ribuan pelarian yang tinggal di wilayah tersebut.

Langkah itu bermula susulan arahan dari kerajaan untuk mengenal pasti pelarian Rohingya yang tinggal di selatan bandar Jammu.

Kata polis, sekitar 5,000 Muslim Rohingya berlindung di Jammu dalam beberapa tahun terakhir ini.

Sejak Sabtu, pihak berkuasa telah memanggil ratusan pelarian Rohingya ke sebuah stadium di Jammu sebagai langkah untuk mencatatkan maklumat peribadi dan melakukan saringan COVID-19.

Lebih 1 juta Rohingya melarikan diri dari penganiayaan melampau di tanah asal mereka di Myanmar.

Kebanyakan pelarian pada masa ini tinggal di kem pelarian yang padat dan penuh sesak di Bangladesh.

Dianggarkan 40,000 pelarian Rohingya berlindung di beberapa bahagian di India.

Daripada jumlah itu, hanya 15,000 yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk pelarian.