KUALA LUMPUR: Kaspersky yang merupakan sebuah syarikat keselamatan siber global menumpukan kepada pembangunan keselamatan blockchain bagi membantu memerangi jenayah mata wang kripto (penipuan dan scam).

Pengarah Urusan Kaspersky untuk Asia Pasifik Chris Connell berkata membangunkan keselamatan blockchain sentiasa menjadi antara keutamaan mereka memandangkan teknologi itu makin berkembang pesat.

"Keselamatan siber mata wang kripto pada masa ini masih di peringkat awal dan menjadi tugas kami untuk terus membangunkan produk kami bagi mencuba dan menyesuaikan diri dengan pasaran mata wang kripto yang sentiasa berubah," katanya kepada pemberita dalam temu bual di sini pada Rabu.

Beliau juga berkata teknologi digital boleh berubah dalam masa sejam tetapi adalah penting untuk memastikan seseorang itu melakukan perkara yang betul dan sesuai bagi menyesuaikan diri dengan perubahan itu dengan cepat atau sekurang-kurangnya cuba mendahului penjenayah siber.

"Oleh itu, ia (keselamatan siber mata wang kripto) adalah penting dan pastinya berada dalam radar kami," katanya, sambil menambah bahawa Kaspersky telah mematenkan teknologi blockchain untuk pemindahan data peribadi yang selamat pada 22 Februari, 2022.

Pakar-pakar Kaspersky memantau dengan teliti halaman pancingan data yang menyasarkan kepada pelabur kripto berpotensi serta fail berniat jahat yang diedarkan di bawah nama 20 dompet mata wang kripto paling popular, jelas Connell.

Beliau berkata sejak awal 2022, produk Kaspersky mengesan dan menghalang hampir 200,000 percubaan untuk mencuri mata wang digital pengguna dan perakuan ke dompet mereka melalui pancingan data.

Jumlah bilangan percubaan sedemikian hampir mencecah 50,000 pada April, iaitu separuh daripada petunjuk bagi suku pertama 2022, katanya.

Menurut Kaspersky, dompet kripto ialah sasaran utama untuk penipuan dan aktiviti yang berniat jahat.

-- BERNAMA