BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 1.6 tan dalam serbuan di hadapan sebuah premis di George Town minggu lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, rampasan membabitkan 463 kotak mercun bernilai RM87,010 itu dipercayai untuk dijual di negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, siasatan mendapati mercun berkenaan dibawa masuk ke negara ini dari sebuah negara di Asia Tenggara.

Modus operandi yang digunakan oleh penyeludup adalah dengan membawa barangan tersebut melalui jalan air terlebih dahulu sebelum menggunakan jalan darat tanpa membuat pengikraran yang sah.

“Hasil pemeriksaan pasukan telah menjumpai mercun pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dalam premis tersebut dan di dalam lori  yang berada di hadapan  premis .

“Jumlah mercun yang ditemui adalah sebanyak 463 kotak bersamaan dengan 1,648.37 kilogram dengan nilai anggaran berjumlah RM87,010 dan duti cukai terlibat berjumlah RM56,556.50,” kata beliau dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, di sini, pada Rabu.

Susulan itu, jelas beliau, tiga suspek lelaki berusia 30 hingga 42 tahun masing- masing pekerja di premis berkenaan yang disyaki terlibat turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan pelaku dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan atau RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.