DENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan penyeludupan minuman keras belum lulus kastam di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang baru-baru ini melibatkan rampasan hampir 66,000 botol dan tin berisi bir bernilai kira-kira RM1.2 juta termasuk cukai dan nilai sitaan kenderaan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) (Menanggung Tugas-Tugas) Fazilah Ariff berkata dalam serbuan di sebuah gudang pada 2 Ogos lepas, bir pelbagai jenama yang disyaki diimport dan bir yang bertanda Malaysian Duty Not Paid (MDNP) ditemukan.

Ketika serbuan dilakukan, katanya dianggarkan terdapat tujuh individu berada di kawasan premis berkenaan sedang memindahkan bir dari lori "bonded" ke dalam lori kecil serta van dan kesemua mereka melarikan diri sebaik menghidu kehadiran pihak kastam.

Fazilah berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengesan mereka yang terlibat termasuk pekerja, pemilik premis dan pemilik kenderaan iaitu sebuah lori "bonded", dua lori tiga tan, sebuah lori satu tan dan satu van.

"Tiada sebarang dokumen pengimportan ditemui bersama barangan yang disita," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fazilah berkata sindiket itu dipercayai memasarkan produk bir bertanda MNDP dan bir import yang disyaki diseludup dari Belanda dan India untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, bir bertanda MDNP hanya boleh dijual di kedai bebas cukai atau di pulau bebas cukai.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam atau bahan larangan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan memiliki barang yang duti eksais belum dibayar di bawah Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti eksais atau RM50,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA