KOTA BHARU: Seorang pemandu lori sejuk beku ditahan selepas membawa muatan daun ketum sejauh 50 kilometer di Jalan Raya Timur Barat, Kampung Batu Melintang, dekat Jeli, pada Rabu.

Pengarah Kastam Kelantan Mohd Nasir Deraman berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya berjaya merampas 337 bungkus plastik berisi daun ketum seberat 3,370 kilogram (kg) yang ditemui di dalam lori terbabit.

Nilai rampasan keseluruhan ialah sebanyak RM33,700.

"Modus operandinya adalah dengan mengubah suai sebuah lori yang dipasangkan jeriji besi bagi mengisi bungkusan terbabit dari negeri jiran, sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan.

"Kita juga sedang mengesan pemilik daun ketum terbabit," katanya pada sidang media di ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Padang Bongor, Pengkalan Chepa, di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, pada 15 Mei dan 1 Jun lalu pihaknya turut merampas daun ketum bernilai RM12,175 seberat 664kg.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.