Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan negara akan terus berada di Lahad Datu meskipun pilihan raya diadakan.

Kata beliau, kemelut yang berlaku di kawasan itu perlu ditamatkan secepat mungkin tidak kira samada pilihan raya diadakan ataupun tidak.

“Kalau pilihan raya diadakan dan kita wajib berada di sini, kita akan berada di sini,” kata Hamza pada sidang media ‘Operasi Daulat’ di Lahad Datu.

Tegas beliau, soal keselamatan tidak boleh dikompromi.

Katanya lagi, dalam konteks menghadapi musuh, mereka tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk menamatkan operasi.

“Kita perlu ingat kalau kita letakkan tempoh masa seolah2 kita tahu pulak kat mana musuh berada dan sebagainya,” jelas Hamza.

Beliau juga memaklumkan buat masa ini tiada sebarang pertempuran antara pasukan keselamatan ataupun pihak musuh.

“Setakat ini tangkapan masih 104 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan di bawah akta-akta lain 232. Lain-lain statistik masih kekal,” katanya.

Sementara itu, Hamza memberitahu bahawa operasi di Tanjung Batu masih diteruskan dan berkemungkinan akan selesai esok.

Mereka juga akan berbincang dengan ketua-ketua masyarakat bagi tujuan membenarkan penduduk pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun, katanya ini hanya dapat dilaksanakan setelah semua dapat dapat dikeluarkan dan tempat itu telah dipastikan selamat.