AL HAMRAN: Lebih 180 trak dan lori tangki musnah terbakar, manakala sekurang-kurangnya empat terkorban dan 24 yang lain cedera dalam satu serangan peluru berpandu di utara Syria.

Menurut laporan, serangan itu menggunakan peluru berpandu balistik.

Pihak berkuasa belum dapat menentukan punca serangan dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kemusnahan di kawasan parkir lori tangki minyak itu.

Namun, mengikut laporan Observatorium Syria Bagi Hak Asasi Manusia, kapal perang Rusia di Mediterranean telah melepaskan tiga peluru berpandu.

Kumpulan pembangkang Syria dan pihak pemantau menuduh tindakan itu dilakukan Rusia yang telah menyerang bandar Jarablus dan Al-Bab berdekatan di sempadan Turki Jumaat lalu.

Rusia, yang merupakan penyokong utama Presiden Syria Bashar Al-Assad dalam perang saudara 10 tahun di negara itu, belum memberikan sebarang komen mengenai tuduhan tersebut.