PUTRAJAYA: Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 dijangka diserikan kembali dengan kehadiran penonton ke stadium apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam usaha mendapatkan kelulusan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi jaminan permohonan kehadiran penyokong ke stadium akan dibuat selepas dua bulan saingan Liga-M yang menggunakan model gelembung sukan, berjalan dengan lancar.

Beliau berkata KBS memerlukan masa untuk memberi gambaran dan keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa keputusan membenarkan penyokong ke stadium tidak menjejaskan gelembung sukan yang dikhususkan kepada pemain serta pegawai pasukan.

"Saya jangkakan dalam sebulan dua untuk bawakan perkara ini kepada MKN untuk dipertimbangkan kerana ia juga bergantung sepenuhnya kepada pengumuman MKN mengenai situasi terkini serta perkembangan semasa pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Tetapi saya memberi jaminan dalam tempoh sebulan dua itu ia akan dibawa ke MKN bagi mendapatkan kelulusan untuk membolehkan sukan bola sepak dihadiri penonton dengan SOP yang ketat," katanya pada sidang media majlis pelancaran Liga-M 2021 di sini, pada Isnin.

Beliau menjelaskan usaha membenarkan kehadiran penonton ke stadium dengan jumlah yang terbatas tanpa mendatangkan sebarang ancaman kepada model gelembung sukan antara matlamat utama KBS dalam merancakkan semula industri sukan negara.

Sementara itu, pemain serta pegawai pasukan Liga-M bersama barisan atlet negara yang tidak terlibat ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau menjelaskan dalam konteks sukan, keutamaan kini diberikan kepada 264 atlet dan pegawai dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik yang bakal menerima suntikan vaksin bermula April ini.

"Saya sendiri pun tidak mengambil vaksin pada peringkat awal sebaliknya akan ambil bersama atlet pada April, sebab kita nak dengan bekalan yang terbatas ini keutamaan diberikan kepada mereka yang telah disenaraikan sebagai yang paling utama atau barisan hadapan," katanya.

Sebanyak 264 atlet serta pegawai itu adalah kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai KBS untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

-- BERNAMA