KUALA LUMPUR: Pusat sukan termasuk gimnasium dan boling dijangka kembali beroperasi dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kementerian telah menyediakan cadangan bagi melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk membolehkan kemudahan sukan tersebut beroperasi.

Jelas beliau, pihaknya sedar tentang desakan berhubung pengoperasi semula fasiliti-fasiliti sukan berkenaan dan bersimpati kepada operator terlibat.

"Kita berurusan dengan cukup rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Kita juga sudah sediakan cadangan untuk laksanakan SOP yang ketat membolehkan fasiliti (gimnasium dan boling) dibuka.

"Saya percaya KKM sedang perhalusi SOP berkenaan. InsyaAllah dalam masa terdekat, pusat gimnasium dan boling ini dapat beroperasi," katanya di Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang mahu Kementerian Belia dan Sukan mensyorkan pembukaan operasi pusat sukan dan gimnasium dibuka semula.


* Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.