KDN akan ambil tindakan undang-undang ke atas Clare Brown jika ada 'prima facie' - Ahmad Zahid

Astro Awani
Julai 25, 2015 13:12 MYT
Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan rasmi pada Sabtu berkata, keputusan itu bergantung kepada siasatan muktamad Polis Diraja Malaysia kelak. - Foto Fail
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berurusan secara rasmi dengan kerajaan Britain menerusi Wisma Putra sekiranya terdapat 'prima facie' bagi tindakan perundangan dilakukan terhadap pengarang dan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, keputusan itu bergantung kepada siasatan muktamad Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelak.
"Jika terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan oleh Claire, bilateral dalam bentuk pertukaran maklumat risikan sudah sedia terjalin antara Malaysia dan Britain.
"Biarpun kebebasan pendapat diraikan oleh Malaysia, namun sebarang maklumat yang dipinda dan diada-adakan tidak boleh diterima.
"Apatah lagi jika paparan berita atas talian oleh Claire mempunyai niat jahat," katanya.
Tambahnya lagi, kerjasama antara PDRM dan Scotland Yard sudah sedia terjalin dan ini akan memudahkan tindakan susulan dibuat bagi melakukan ekstradisi jika diperlukan.
Claire merupakan warganegara Britain dan pengasas portal Sarawak Report dan Radio Free Sarawak.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini memutuskan untuk menyekat laman web The Sarawak Report (http://www.sarawakreport.org) kerana ia dikatakan boleh menggugat kestabilan negara.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, SKMM berkata tindakan itu perlu kerana portal berita terbabit didapati sering memaparkan berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
#Ahmad Zahid Hamidi #KDN #Sarawak Report