KDN lulus 380,000 pemohonan pekerja asing, penuhi keperluan ekonomi negara - Saifuddin

Bernama
Februari 25, 2023 09:45 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar hari ini. - Foto BERNAMA
PADANG BESAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan 380,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan ekonomi negara.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya telah melakukan pelan kelonggaran bagi memenuhi permintaan industri setelah menerima pemberitahuan daripada pihak Bank Negara agar memudahkan proses permohonan pekerja asing.
"Sehingga kini KDN telah meluluskan 380,000 permohonan daripada warga asing yang tinggal lebih tempoh dan tidak mempunyai dokumen agar mereka segera mencari majikan.
Kelonggaran ini diberikan kepada beberapa sektor kritikal seperti perladangan, pertanian, perkilangan dan perkhidmatan," kepada pemberita selepas melawat Kompleks ICQS Padang Besar di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Jabatan Imigresen Perlis Khairul Amin Taib.
Katanya pada peringkat pertama ini, permintaan tenaga asing daripada pemain industri adalah sehingga 518,000 orang.
Beliau berkata tindakan itu diambil bagi membantu perkembangan ekonomi sekurang-kurangnya kepada satu peratus.
Saifuddin Nasution berkata usaha ini adalah penting bagi membantu usaha perkembangan ekonomi negara yang dijangka berkembang kepada 4.5 peratus seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 semalam.
Katanya dibawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) jumlah pekerja asing tidak boleh melebihi 2.4 juta orang menjelang 2025 dan sehingga kini terdapat 1.5 juta pekerja asing di negara ini.
Beliau juga berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses akhir pemerolehan kamera badan bagi kegunaan agensi di bawahnya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saifuddin Nasution berkata pihaknya kini sedang memuktamadkan kontraktor yang layak bagi mengendalikan pemerolehan kamera badan itu dengan melibatkan peruntukan RM30 juta yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan (MOF) pada tahun lepas.
Beliau berkata penggunaan kamera badan dilihat mampu meningkatkan integriti perkhidmatan, malah menjadi sumber bukti kepada anggota polis dan petugas agensi keselamatan lain serta dapat mengawal manipulasi, meningkatkan kepercayaan prang ramai dan meningkatkan keyakinan anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas secara profesional.
--BERNAMA
#KDN #permohonan pekerja asing #Saifuddin Nasution Ismail #Kementerian Dalam Negeri