MELAKA: Keadaan banjir di Melaka semakin baik selepas separuh daripada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, tiga PPS juga sudah ditutup menjadikan hanya sembilan pusat pemindahan masih beroperasi.

Beliau berkata, setakat pagi Sabtu, kira-kira 550 mangsa membabitkan 145 keluarga masih berada di PPS dan angka itu dijangka menurun susulan faktor cuaca yang baik hari ini.

Katanya, daerah Melaka Tengah masih merekodkan mangsa paling ramai dengan dua PPS masih dibuka iaitu di SK Ayer Molek dengan 191 mangsa dan SMK Bukit Katil dengan 61 mangsa.

Manakala daerah Alor Gajah, PPS yang masih dibuka ialah di SK Durian Tunggal, SK Telok Berembang dan SJK (C) Sin Wah dengan 94 mangsa keseluruhan.

Di Jasin pula, seramai 198 mangsa berada dia tiga PPS yang masih beroperasi iaitu di SJK (C) Shuh Yen, SK Tehel dan SMK Seri Bemban.

Tambahnya, semua mangsa banjir itu melibatkan penduduk di 52 kawasan kediaman iaitu 26 di Melaka Tengah, 14 di Alor Gajah dan 12 di Jasin.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut meramalkan hujan di satu atau dua tempat di kawasan pantai seluruh negeri Melaka pada sebelah pagi ini dan tiada hujan pada petang dan malam.