Keadilan dan DAP hanya akan mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Menurut kenyataan medianya, ia sejajar konvensi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat dalam tahun 2013 selain Wan Azizah yang mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Dewan Negeri.

Berikut adalah kenyataan penuh daripada Setiausaha Agong KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.


KENYATAAN MEDIA

PARTI KEADILAN RAKYAT

PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK

PERLANTIKAN DATO’ MENTERI BESAR

KEADILAN DAN DAP MENJUNJUNG TITAH DYMM TUANKU SULTAN SELANGOR


KEADILAN dan DAP merafak sembah menjunjung kasih dan rasa syukur dengan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor mengenai pelantikan Dato’ Menteri Besar yang baru seperti kenyataan rasmi Pejabat DYMM Tuanku Sultan Selangor yang ditandatangani Dato’ Mohamad Munir
Bani hari ini.

Titah DYMM Tuanku Sultan Selangor itu adalah sejajar dengan konvensi (convention) yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan Dato’ Menteri Besar sebelum ini.

DYMM Tuanku Sultan Selangor turut menitahkan parti-parti Pakatan Rakyat mencalonkan lebih dari satu nama dalam melantik Dato’ Menteri Besar dalam tahun 2013. Titah DYMM Tuanku Sultan Selangor itu disampaikan kepada KEADILAN, PAS dan DAP melalui satu surat bertarikh
7 Mei 2013 (yang disertakan bersama) yang melambangkan konvensi yang diamalkan DYMM Tuanku Sultan Selangor sebelum ini.

Susulan itu, mengambil kira titah DYMM Tuanku Sultan Selangor dan konvensi yang diamalkan sebelum ini dalam pelantikan Dato’ Menteri Besar, parti-parti Pakatan Rakyat telah mencalonkan satu nama iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim untuk dipertimbangkan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam tahun 2013.

Pencalonan ini diperkenankan dan diterima pakai oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Oleh yang demikian, KEADILAN dan DAP menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Selangor itu dan akan mempersembahkan pencalonan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dipertimbangkan DYMM Tuanku Sultan Selangor sejajar dengan konvensi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat dalam tahun 2013 memandangkan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Dewan Negeri (termasuk YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri).

KEADILAN dan DAP merakamkan doa dan menjunjung kasih atas budi bicara ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor.


DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agong KEADILAN

TONY PUA
Setiausaha Publisiti DAP

26 Ogos 2014



---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Datuk Saifuddin Nasution Ismail adalah Setiausaha Agong KEADILAN.

*Tony Pua adalah Setiausaha Publisiti DAP.


*Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI