Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju untuk menambah keanggotaan Pakatan Harapan kepada rakan politik termasuk PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, PKR komited untuk memantapkan Pakatan Harapan yang dilancarkan baru-baru ini sebagai satu gabungan parti politik yang inklusif dan kondusif.

"PKR mengambil langkah-langkah menyediakan suasana yang kondusif bagi perpaduan pergabungan politik yang luas. PKR juga menyeru kepada semua parti agar menghentikan perbalahan dan serangan antara satu sama lain yang akan merosotkan keyakinan rakyat," katanya pada sidang media mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat Keadilan di ibu pejabat PKR di sini, Ahad.

"Parti sahabat juga harus menghormati perbezaan pandangan masing-masing dan tidak mencampuri urusan dalaman parti sahabat," katanya.

Mohamed Azmin juga berkata, PKR akan meneruskan hubungan dan perbincangan dengan rakan politik lain bagi mewujudkan kerjasama dua hala di pelbagai peringkat.

Selain itu, PKR akan meneruskan usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu bagi berdepan dengan situasi politik negara yang semakin mendesak ketika ini, katanya.

Sementara itu, khabar angin yang mengatakan sekumpulan kepimpinan PKR mahukan Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli dilucutkan jawatannya adalah tidak benar.

Menurut Mohamed Azmin, perkara tersebut sengaja dibangkitkan parti politik lain bagi mengelirukan orang ramai.

"Ia adalah tidak benar sama sekali. Perkara tersebut idak dibincangkan langsung dalam mesyuarat kerana itu adalah fitnah yang dibuat musuh-musuh politik kita," katanya.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan beberapa kepimpinan PKR mahu Rafizi dilucutkan jawatan kerana pertembungan dalaman berhubung penubuhan Pakatan Harapan.