Kebajikan, kemajuan ekonomi agenda utama kerajaan baharu Melaka - PM

Astro Awani
November 21, 2021 00:13 MYT
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO ketika hadir di Command Center BN bagi melihat proses penjumlahan Undi PRN malam tadi. -Bernama
KUALA LUMPUR: Kebajikan dan kemajuan ekonomi negeri Melaka menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu yang akan terbentuk nanti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan terima kasih buat Keluarga Malaysia di bandar raya bersejarah itu kerana memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu.
"Tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN), Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Pengerusi BN), presiden-presiden parti komponen BN dan seluruh jentera parti yang menggembleng tenaga membantu memenangkan BN di Melaka.
"Penghargaan juga buat mantan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak yang turut turun padang membantu kemenangan di Melaka.
"Inilah semangat Keluarga Malaysia yang mana kita semua menuju ke destinasi yang sama membangunkan kembali Malaysia selepas mengharungi pandemik yang mencabar ini.
"Terima kasih Keluarga Melaka," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Pada Sabtu, PRN Melaka, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dipertandingkan sekali gus membentuk kerajaan baharu.
Lima kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional dua kerusi.
#ismail sabri yaakob #Kebajikan dan kemajuan ekonomi melaka #PRN Melaka #pilihan raya