KUANTAN: Kebakaran kecil yang berlaku di di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari tadi berpunca daripada papan suis utama di blok bangunan bersebelahan dengan bangunan unit sajian hospital berkenaan. 

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, menerusi satu kenyataan, mengesahkan perkara itu.

Kejadian itu telah menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem perubatan termasuk sistem pendingin hawa dan hampagas di blok utama hospital.

Bagaimanapun, sistem bekalan oksigen dan bekalan umum seperti lampu, kipas dan telefon tidak terjejas sama sekali.

"Pihak hospital dengan kerjasama syarikat konsesi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan pelan pemulihan dengan segera.

"Tepat jam 8 malam tadi, hampir keseluruhan sistem yang terjejas telah dapat dipulihkan. Hanya sistem hampagas yang masih dalam proses pemulihan dan dijangkakan pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini," kenyataan itu menyebut.

JKN Pahang juga memaklumkan pengoperasian di wad, Dewan Bedah dan Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berjalan seperti biasa tanpa perlu melakukan pemindahan pesakit.

Pasukan forensik Bomba dan Penyelamat juga masih lagi melakukan pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.