Pihak polis berpendapat tiada keperluan untuk mendakwa ibu bapa tujuh suspek yang terlibat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kerana kes tersebut hanya melibatkan remaja berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun berkata, spekulasi yang ditimbulkan untuk turut sama mengheret ibubapa suspek dilihat sebagai dakwaan semata-mata.

Bagaimanapun katanya pihak PDRM akan mengemukakan laporan dan hasil siasatannya kepada pihak pendakwaan termasuk keterangan sokongan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Itu spekulasi (mendakwa ibu bapa suspek), tidak perlu diperbesarkan, ibu bapa ini saya rasa tidak ada kena mengena, kita akan buat cadangan yang adil dan sewajarnya. Pihak yang berkenaan jangan buat spekulasi bukan-bukan,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Inovasi PDRM 2017 di Universiti Malaysia Kelantan, UMK siang tadi.

BACA: Di sebalik angkara kesumat mereka bertujuh...

BACA: Tujuh suspek pernah dibuang sekolah kerana isu disiplin

BACA: Pasukan khas siasat bocor maklumat akan ditubuhkan - KPN

Sementara itu beliau menjelaskan kertas siasatan berkenaan sudah hampir siap dan kini hanya menunggu laporan kimia, laporan lengkap Jabatan Bomba dan Penyelamat, forensik dan keterangan dari mangsa yang cedera.

Pihak polis juga katanya masih belum dapat mengambil keterangan dari mangsa yang cedera yang masih lagi dirawat di hospital.

Menyentuh mengenai hasil siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kebocoran maklumat dan perincian penyiasatan kes terbabit, Mohamed Fuzi memaklumkan siasatan masih dijalankan dan dijangka selesai secepat mungkin.


Mohamad Fuzi berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana perkara seumpamanya sudah banyak kali berlaku.

Siasatan yang dijalankan mengikut seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam kejadian Khamis lepas, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu kira-kira 5.15 pagi.

Sabtu lepas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.

Pihak polis percaya motif kejadian adalah angkara dendam.