PUTRAJAYA: Kebebasan hakim untuk melaksanakan tugas mereka harus dipertahankan, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, meskipun kerajaan melakukan transformasi termasuk terhadap badan kehakiman namun konsep pengasingan kuasa masih kekal, dengan hakim seharusnya bebas untuk membuat keputusan.

“Kebebasan hakim untuk melaksanakan tugas mereka dalam pengasingan kuasa mestilah dipertahankan. Mempertahankan ini bukanlah bermakna kita tidak menggunakan garis panduan undang-undang.

BACA: Hentikan serangan ke atas institusi kehakiman - Pakatan Harapan

“Undang-undang itu boleh dilihat dalam beberapa perkara, kerana dalam kita menjaga kebebasan kehakiman, kita juga melihat dalam konteks pengasingan kuasa iaitu the right to govern oleh pihak kerajaan iaitu piahk eksekutif.

“Jadi, maknanya tiada siapa dalam Kehakiman, Legislatif dan Eksekutif mengambil alih tugas sesiapa. Kita kena tahu perimeter itu sendiri dan perimeter ini janganlah sewenang-wenangnya kita hapuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian Dan Harapan di Putrajaya pada Ahad.

Meskipun tidak merujuk kepada sesiapa namun dipercayai kenyataan itu merujuk kepada insiden melibatkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini.

Jenayah | Ancaman terhadap Ketua Hakim Negara disiasat segera

Astro AWANI sebelum ini melaporkan sebarang elemen ugutan atau ancaman terhadap Tengku Maimun akan dijalankan siasatan dengan segera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, biarpun belum terdapat sebarang laporan yang dibuat namun perkara itu adalah satu isu yang serius.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan mengesan sebarang ancaman atau ugutan terhadap Tengku Maimun di dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook.