KUALA LUMPUR: Kebenaran rentas negeri akan dibuat serentak untuk seluruh negara dan bakal diumum dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran serentak itu berikutan kebanyakan negeri dijangka mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa 80 peratus, apabila purata vaksinasi individu berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara mencapai 90 peratus

“Tunggu saya akan umumkan. Tetapi dah tak lama dan akan dibuat serentak seluruh negara. Dulu kita nak beri kebenaran apabila kadar vaksinasi mencecah 80 peratus, tapi ada lagi negeri yang masih rendah. Kalau buka seluruh negara mungkin beri kesan tidak baik di negeri terbabit.

“Jika kebenaran diberi pada kadar 90 peratus, kita jangka rata-rata negeri telah mencapai peratusan tertinggi vaksinasi,” katanya selepas menghadiri majlis Prapelancanran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, di sini pada Khamis. 

Sehingga Khamis, kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini sudah mencapai kadar 89.1 peratus.

Kerajaan, sebelum ini mengumumkan kebenaran rentas negeri hanya akan diberikan selepas 90 peratus populasi dewasa sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya.