Ekonomi negara tidak mungkin akan kukuh hari ini tanpa langkah berani kerajaan melakukan pembaharuan struktur.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam usaha itu, beberapa keputusan sukar terpaksa diambil bagi membolehkan negara kekal berada pada landasan yang tepat.

Katanya, biarpun pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi pada awalnya sukar diterima masyarakat secara amnya, langkah itu telah membawa manfaat besar kepada prestasi ekonomi negara.

"Kejayaan tidak datang dengan mudah, kita terpaksa buat beberapa keputusan yang sukar dan mencabar tetapi perlu.

"Kalau kita tidak berani membuat pembaharuan struktur untuk membetulkan kelemahan tertentu, kita tidak boleh meletakkan ekonomi atas landasan yang kukuh," katanya ketika berucap dalam Majlis Sanjungan Budi Setulus Ingatan 2015 & 2016 Perbendaharaan Malaysia di sini hari ini.

GST katanya merupakan satu langkah berani kerajaan yang telah membuahkan hasil di mana negara memperoleh pulangan sebanyak RM41 bilion tahun lepas.

Justeru tegasnya, langkah memperkenalkan cukai tersebut adalah tidak salah, malah dua negara lagi akan turut melaksana GST iaitu India bermula April tahun depan dengan kadar 23 peratus, serta Arab Saudi.

"Ramai kata jangan buat GST, nanti kalah dalam pilihan raya. Tapi Alhamdulillah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kita menang," tegasnya.

Jelas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, walaupun ketidak tentuan ekonomi global semasa yang menyaksikan kejatuhan harga minyak, hasil negara bertambah susulan keputusan yang dibuat itu.

Dengan itu, kerajaan dapat terus merangka dan melaksanakan usaha pembangunan rakyat.

Pada masa sama, beliau juga memaklumkan bahawa pengenalan subsidi bersasar menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mendapat maklum balas positif daripada rakyat secara amnya.

"Kalau ada orang kritik BR1M, sebenarnya saya sudah uji rata-rata rakyat Malaysia sokong BR1M," jelasnya.