Keberkesanan NUR Alert: Polis alu-alukan kolaborasi media dalam sebar maklumat

Asyraf Roslan
Mac 7, 2019 11:53 MYT
Datuk Chamil Wariya bersetuju jika media dapat memainkan peranan proaktif dalam membantu pihak berkuasa menyebarkan maklumat dengan cepat dan berkesan - Gambar Nur alert
Kebelakangan ini, kita sering mendengar kes penderaan, pembunuhan dan kekejaman melibatkan kanak-kanak.
Adakah kita hanya perlu melaporkan kepada pihak polis dan menunggu sahaja?
Menurut Ketua Pegawai Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya bersetuju jika media dapat memainkan peranan proaktif dalam membantu pihak berkuasa menyebarkan maklumat dengan cepat dan berkesan.
“Bagi saya, tidak kira surat khabar, television, radio ,mahupun portal ia merupakan satu wadah yang baik untuk menyampaikan mesej tersebut dan jika kita bekerjasama ia merupakan satu usaha yang baik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superitendan Choo Lily, menjelaskan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik cadangan sekiranya media bekerjasama dalam melaksanakan penyebaran maklumat kes yang melibatkan kanak-kanak.
Namun, tambahnya dalam penyebaran berita itu, ia harus dilakukan secara berhati-hati kerana enggan sebarang maklumat diperolehi jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.
“Untuk menyalurkan hebahan ini, memang kita perlukan seramai yang boleh untuk membantu tetapi pada masa sama, kita harus memastikan maklumat tersebut jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
#Astro Awani #Kanak-kanak #Malaysia #Nur #PDRM #Subang Jaya