Kementerian Dalam Negeri sedang mengkaji keberkesanan peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) khususnya dari segi rantaian perintah.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohd Azis Jamman berkata langkah itu bagi memastikan operasi Esscom yang lebih mantap dalam mengawal keselamatan perairan di timur Sabah.

"Masalah termasuk chain of command ini perlu diperjelaskan, mana arahan yang boleh dilakukan komander Esscom kerana kita tahu tentera ada (arahan) panglima tenteranya, polis ada ketua polis negara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ada atasannya.

"Perkara ini ada dibawa dalam peringkat kementerian dan dibincangkan bersama Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) tahu dengan masalah ini," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Mohd Azis yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum itu menyaksikan penyerahan borang permohonan menyertai Warisan oleh kira-kira 15,000 anggota Barisan Nasional Bahagian Silam kepada Setiausaha Agung parti Loretto S Padua Jr.

Mengulas lanjut, beliau berkata peranan penguatkuasaan Esscom juga akan diteliti untuk perincian khususnya melibatkan Polis Marin Malaysia dan APMM.

Pada masa sama, Mohd Azis berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan negara dan ini termasuk penyediaan peruntukan yang mencukupi.

"Kita mengalukan penjimatan beberapa sektor lain tetapi bagi aspek keselamatan tiada kompromi dan isu perairan di Sabah dan Sarawak perlu diambil serius," katanya menambah sempadan negara yang mudah dibolosi oleh kegiatan jenayah rentas sempadan akan menimbulkan kebimbangan pelancong serta pelabur, sekali gus menjejaskan pendapatan ekonomi negeri.

-- BERNAMA