Kebolehpasaran graduan UniSZA meningkat kepada 92.4 peratus tahun ini

Bernama
Disember 19, 2019 12:54 MYT
UniSZA sentiasa membantu dan memberi kemudahan kepada pelajar yang berminat dengan bidang keusahawanan. - Gambar fail
Kadar purata kebolehpasaran graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meningkat kepada 92.4 peratus sehingga Disember ini, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Beliau berkata ia adalah peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding 78.8 peratus pada Disember 2018.
"Data ini diperolehi dari Pusat Alumni, Keusahawanan dan Jaringan Masyarakat (PAKAT) UniSZA yang sentiasa mengemas kini data graduan untuk memastikan setiap graduan mempunyai pekerjaan.
Kejayaan ini adalah hasil pelaksanaan beberapa inisiatif dan strategi yang telah dilakukan termasuk kolaborasi pintar bersama jaringan industri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Daripada jumlah itu, sebanyak 5.3 peratus iaitu 179 graduan menceburi bidang keusahawanan kerana ramai antara mereka telah memulakan perniagaan ketika dalam tempoh pengajian.
Katanya, UniSZA sentiasa membantu dan memberi kemudahan kepada pelajar yang berminat dengan bidang keusahawanan seperti dana wakaf, tempat penjualan dan kursus yang berkaitan.
"UniSZA akan terus meningkatkan usaha untuk memastikan kadar kebolehpasaran graduan meningkat dengan mewujudkan pelbagai bentuk program dan kolaborasi dengan industri pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#graduan unisza #Hassan Basri Awang Mat Dahan #Institusi Pengajian Tinggi #kadar purata kebolehpasaran #pelajar unisza #pendidikan #UniSZA