GEORGE TOWN: Kehadiran seekor babi hutan sesat di kawasan Persiaran Gurney, Pulau Pinang mencemaskan orang ramai di sekitar kawasan itu pada Jumaat.

Kejadian disedari seorang penghantar makanan kira kira jam 9 pagi tadi sebelum dia menghubungi talian kecemasan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani ketika dihubungi memaklumkan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 9.12 pagi bagi menangkap haiwan itu.

Haiwan itu terpaksa ditembak kerana dikhuatiri akan mengganggu dan membahayakan orang awam. - Foto Astro AWANI

BACA: Shakira 'diserang' babi hutan ketika berjalan bersama anak di Barcelona

BACA: Rimas! Penduduk Rom tidak tahan lagi saban tahun diancam babi hutan

Bagaimanapun percubaan menangkap babi berkenaan gagal berikutan babi itu melarikan diri ke kawasan semak di belakang tapak penjaja makanan.

"Anggota kemudiannya menghubungi Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) meminta bantuan sebelum haiwan itu terpaksa ditembak kerana dikhuatiri akan mengganggu dan membahayakan orang awam," katanya.

Tiada kecederaan mahupun kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Terdahulu video babi sesat berkenaan tular di media sosial menunjukkan beberapa anggota APM sedang cuba menangkap haiwan berkenaan.