KUALA LUMPUR:Kecundangnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menyaksikan rapuhnya kerjasama politik Bersatu dengan rakan politik.

Menurut Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Hamid, ini kerana situasi kedudukan kerusi Bersatu di Perak sama seperti di peringkat Persekutuan - jumlah kerusi kecil namun menjadi parti dominan dalam kerajaan.

Jelas Hamidin, ia sekali gus akan mengganggu gugat kedudukan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Persekutuan.

"Kita melihat kelangsungan Bersatu sebagai parti dominan di Perak dan Persekutuan dengan jumlahnya (kerusi) sedikit namun ketuai kepimpinan pentadbiran kerajaan.

"Kedudukan Bersatu yang kecil di peringkat negeri dan Persekutuan ini tidak mampu tampung tekanan serangan atau tekanan dilakukan di peringkat dalaman terutama UMNO yang mempunyai jumlah kerusi bbesar," kata beliau ketika ditemu bual Astro AWANI.

Dr Hamidin tidak menolak kemungkinan berlaku pembentukan kerajaan baharu di peringkat Perak dengan rundingan penjajaran semula kerjasama politik.

UMNO yang mempunyai 25 kerusi di DUN Perak, hanya memerlukan lima lagi ADUN menyokong untuk mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan.

"UMNO mempunyai kelebihan dalam konteks bentuk kerajaan di Perak, namun tidak stabil kerana tidak cukup sokongan.

"Jadi UMNO memerlukan jajaran baharu politik untuk menyokongnya, sama ada Bersatu mahu kekal dan Pas mahu bersama, ini semua menjadi tanda tanya kita bagaimana percaturan politik di Perak," katanya.

Percaturan politik di Perak ini jelas Dr Hamidin boleh juga berlaku di beberapa negeri seperti Johor yang kerusi UMNO melebihi daripada Bersatu.

"Kita melihat ini merupakan tekanan dan amaran UMNO untuk penjajaran semula kerjasama politik di peringkat nasional.