KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius kes kecurian elektrik menerusi kegiatan perlombongan bitcoin apabila ia mencatatkan peningkatan 400 peratus sejak empat tahun lepas dengan anggaran kerugian lebih RM2.3 bilion.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ia membabitkan sejumlah 7,209 kes, iaitu 610 kes pada 2018, diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes pada 2021.

"Peningkatan kes ini dilihat satu trend yang membimbangkan kerana ia memberi kesan bukan sahaja kepada industri tenaga dari segi nilai, bahkan terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik dan keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata penggunaan melampau mesin melombong mata wang kripto berkuasa tinggi 24 jam tanpa henti boleh menyebabkan litar pintas akibat penggunaan fius yang tidak mengikut piawaian dan beban melebihi kapasiti kabel, berisiko menyebabkan kebakaran.

Menurutnya penyambungan haram atau pengusikan pada pepasangan meter mengakibatkan bacaan pada meter tidak lagi menunjukkan penggunaan elektrik sebenar, sekali gus mengganggu kestabilan bekalan elektrik kerana permintaan melebihi kapasiti sehingga menyebabkan aktiviti perniagaan dan keselesaan rakyat terjejas.

Sehubungan itu beliau berkata mana-mana individu yang mencuri elektrik dengan mengusik pepasangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Selain itu, individu yang melakukan kesalahan itu juga boleh didakwa bagi perbuatan mencuri di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama atas perbuatan khianat.

"Dalam kes ini, kedua-dua pemilik premis dan individu yang menjalankan kegiatan tersebut boleh diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Sehubungan itu, Kementerian menyambut baik kerjasama pelbagai agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membanteras perbuatan yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990.

Beliau turut meminta orang awam yang mengesyaki atau mempunyai maklumat berkenaan kecurian elektrik untuk melombong mata wang kripto disarankan menghubungi ST, TNB di talian 15454 dan PDRM supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

-- BERNAMA