ALOR SETAR: Polis dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan beberapa kes penjualan sijil vaksinasi palsu membabitkan doktor di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang memaklumkan, kes itu kini sedang dalam siasatan.

“Kes ini masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKN Kedah. Jumlah sijil vaksinasi palsu yang sudah dijual pun kita tak boleh dedahkan tetapi ia tidak terlalu banyak.

"Kita juga masih siasat sama ada kes ini ada kaitan dengan kes pembelian sijil vaksinasi palsu di Terengganu... berkemungkinan ada ada kaitan, kita sedang menunggu polis siasat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sijil Vaksinasi Palsu | MMA mahu hukuman paling berat

Pada 8 Januari, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilapor berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama JKN Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan terbabit.